Sunday, January 3, 2010

Pandangan Dr Asri Berkaitan Penggunaan Nama Allah di Kalangan Penganut Kristian

Banyak pihak mendesak saya memberikan pandangan tentang penggunaan nama Allah oleh agama lain khususnya agama Kristian di Malaysia ini. Pada awalnya, saya selalu mengelak, cuma memberikan pandangan ringkas dengan berkata: “Isu ini bukan isu nas Islam, ianya lebih bersifat pentadbiran atau tempatan.

Peraturan ini mungkin atas alasan-alasan setempat seperti kenapa sekarang baru ditimbulkan isu ini? Kenapa hanya Bible dalam bahasa melayu sahaja yang hendak menggunakan panggilan Allah, tidak pula edisi inggerisnya? Adakah di sana ada agenda tersembunyi? Maka wujudnya tanda soal dan beberapa prasangka yang mungkin ada asasnya. Maka lahirlah kebimbangan terhadap kesan yang bakal timbul dari isu itu nanti.
Namun, akhir-akhir ini saya terus didesak. Saya kata: jika anda hendak tahu pendirian Islam bukanlah dengan falsafah-falsafah tentang akar bahasa itu dan ini yang diutamakan. Rujuk terdahulu apa kata al-Quran dan al-Sunnah. Lepas itu kita bincang hukum berkenaan bertitik tolak dari kedua sumber tersebut.
Kadang-kala kesilapan kita dalam mempertahankan perkara yang tidak begitu penting, boleh melupakan kita kepada isu yang lebih penting. Isu yang terpenting bagi saya adalah kefahaman mengenai keadilan dan kerahmatan Islam yang mesti sampai kepada setiap rakyat negara ini, muslim atau bukan muslim. Supaya gambaran negatif yang salah terhadap Islam dapat dikikis dari minda mereka yang keliru.
Di samping itu, hendaklah kita jelas bahawa yang membezakan akidah Islam dan selainnya bukanlah pada sebutan, atau rebutan nama Allah, sebaliknya pada ketulusan tauhid dan penafian segala unsur syirik. Di samping, kita mesti bertanya diri kita: mengapakah kita sentiasa merasakan kita akan menjadi pihak yang tewas jika orang lain memanggil tuhan Allah? Mengapakah kita tidak merasakan itu akan lebih memudahkan kita menyampaikan kepada mereka tentang akidah Islam?. Maka, apakah isu ini bertitik tolak dari nas-nas Islam, atau kebimbangan disebabkan kelemahan diri umat Islam itu sendiri?
Jika kita membaca Al-Quran, kita dapati ia menceritakan golongan musyrikin yang menentang Nabi Muhammad s.a.w juga menyebut nama Allah dan al-Quran tidak membantah mereka, bahkan itu dijadikan landasan untuk memasukkan akidah Islam yang sebenar.
Firman Allah: (maksudnya) “Dan Demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!” (Surah al-Zukhruf ayat 87-88).
Firman Allah dalam ayat yang lain: (maksudnya) “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (Surah al-Ankabut ayat 63).



Ayat-ayat ini, bahkan ada beberapa yang lain lagi menunjukkan al-Quran tidak membantahkan golongan bukan muslim menyebut Allah sebagai Pencipta Yang Maha Agung. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w disuruh untuk mengucapkan kesyukuran kerana mereka mengakui Allah. Apa yang dibantah dalam ayat-ayat ini bukanlah sebutan nama Allah yang mereka lafazkan, sebaliknya ketidak tulusan tauhid yang menyebabkan akidah terhadap Allah itu dipesongkan atau bercampur syirik.



Justeru, soal bukan muslim mengakui Allah tidak dibantah oleh Islam, bahkan kita disuruh bersyukur kerana pengakuan itu. Cuma yang dibantah ialah kesyirikan mereka. Umpamanya, jika kita mendengar bukan muslim menyebut “Allah yang menurunkan hujan, atau menumbuhkan tumbuhan”, maka kita tentu gembira kerana dia mengakui kebesaran Allah.



Apakah patut kita kata kepadanya: awak jangan kata Allah yang menurunkan hujan, atau mencipta itu dan ini, awak tidak boleh kata demikian kerana awak bukan muslim, sebaliknya awak kena kata tokong awak yang menurun hujan”. Apakah ini tindakan yang betul? Tidakkah itu menjauhkan dia dari daerah ketuhanan yang sebenar? Kita sepatutnya berusaha mendekatkan dia kepada ajaran yang benar. Namun, jika dia berkata: “Tokong ini adalah Allah”. Saya kata: “Awak dusta, itu tidak benar! Maha suci Allah dari dakwaan awak”.



Maka, ketika Allah menceritakan peranan peperangan dalam mempertahankan keamanan dan kesejahteraan manusia,



Allah menyebut: (maksudnya) “..dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang (pencerobohan) setengah yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam semua tempat itu dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Perkasa. (Surah al-Hajj ayat 40).



Ayat ini mengakui tempat-tempat ibadah itu disebut nama Allah. Adapun berhubung dengan orang Kristian,



Allah menyebut: (maksudnya) “Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti)”. padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa..(Surah al-Maidah ayat 73).



Ayat ini tidak membantah mereka menyebut Allah, tetapi yang dibantah adalah dakwaan bahawa Allah adalah satu dari yang tiga.



Justeru itu kita lihat, orang-orang Kristian Arab memang memakai perkataan Allah dalam Bible mereka, juga buku-buku doa mereka. Tiada siapa pun di kalangan para ulama kaum muslimin sejak dahulu yang membantahnya. Jika ada bantahan di Malaysia, saya fikir ini mungkin atas alasan-alasan setempat yang saya sebutkan pada awal tadi. Cuma yang diharapkan, janganlah bantahan itu akhirnya memandulkan dakwah Islam dan menjadikan orang salah faham terhadap agama suci ini.



Saya selalu bertanya sehingga bilakah kita di Malaysia ini akan begitu defensive, tidak memiliki anti-bodi dan tidak mahu berusaha menguatkannya dalam diri? Akhirnya, kita terus bimbang dan takut kepada setiap yang melintas. Padahal itu bukan sifat Islam. Islam agama yang ke hadapan, misi dan intinya sentiasa disebarkan.



Sehingga Allah menyebut: (maksudnya):“Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang selamat. Demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). (Surah al-Taubah ayat 6).



Ada orang tertentu yang berkata kepada saya: nanti orang Islam keliru kerana sebutan nama Allah itu sama antara mereka dan Islam. Lalu rosak akidah orang Islam kita nanti. Saya berkata kepadanya: “Jikalaulah sebutan nama tuhan itulah yang menentukan akidah Islam, tentulah golongan musyrikin Mekah tidak memerlukan akidah yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Mereka telah sekian lama memanggil tuhan dengan panggilan Allah.



Lihatlah bapa Nabi kita Muhammad bernama ‘Abdullah yang bermaksud hamba Allah. Tentu sekali bapa baginda lahir pada zaman jahiliah sebelum kemunculan baginda sebagai rasul. Nama itu dipilih oleh datuk Abdul Muttalib yang menjadi pemimpin Quraish pada zaman dahulu. Quraish pada zaman jahiliah juga bertawaf dengan menyebut: LabbaikalLahhumma yang bermaksud: Menyahut seruanMu ya Allah!



Al-Imam Muslim dalam sahihnya meriwayatkan hadis mengenai perjanjian Hudaibiah antara Nabi s.a.w dengan Quraish Mekah, seperti berikut:



“Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi s.a.w. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi s.a.w : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”. Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi s.a.w menerima bantahan tersebut. Ternyata mereka menggunakan nama Allah.



Maka yang membezakan akidah Islam dan selainnya adalah tauhid yang tulus yang menentang segala unsur syirik. Ketidak jelasan dalam persoalan inilah yang menggugat akidah jenerasi kita. Mereka yang berakidah dengan akidah Islam sangat sensitif kepada sebarang unsur syirk agar tidak menyentuh akidahnya. Bukan semua yang mengakui Allah akan dianggap beriman dengan iman yang sah selagi dia tidak membersihkan diri dari segala unsur syirik.



Lihat, betapa ramai yang memakai serban dan jubah, berzikir sakan tetapi dalam masa yang sama menyembah kubur-kubur tok wali tertentu dengan cara menyeru dan merintih pemohonan darinya. Ini yang dilakukan oleh sesetengah tarekat yang sesat. Apa beza mereka ini dengan yang memanggil nama-nama berhala yang asalnya dari nama orang-orang saleh juga, yang mati pada zaman dahulu.



Firman Allah: (maksudnya) Ingatlah! Untuk Allah agama yang suci bersih (dari segala rupa syirik). dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung (sambil berkata): “Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan Yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik). (Surah al-Zumar ayat 3).



Di Malaysia kita pun ada yang memakai gelaran agama menentang pengajaran tauhid rububiyyah, uluhiyyah, asma dan sifat. Mereka ini menyimpan agenda musuh-musuh dakwah. Padahal pengajaran tauhid yang sedemikianlah yang mampu menjadikan muslim memahami dengan mudah hakikat tauhid. Mampu membezakan antara; sekadar mempercayai kewujudan Allah dengan mentauhidkan Allah dalam zatNya, ibadah kepadaNya dan sifat-sifatNya.



Persoalan tauhid anti syirik ini begitu mudah dan ringkas untuk memahaminya. Nabi s.a.w telah menyebarkannya dengan begitu pantas dan mudah. Seorang badawi buta huruf yang datang berjumpa baginda mampu memahami hanya dalam beberapa sessi ringkas. Bahkan mampu pulang dan mengislamkan seluruh kaumnya dengan akidah yang teguh. Namun, di kalangan kita, pengajaran akidah yang dinamakan ilmu kalam begitu berfalsafah dan menyusahkan.



Bukan sahaja badwi, orang universiti pun susah nak faham. Sehingga seseorang bukan bertambah iman, tetapi bertambah serabut. Bertahun-tahun masih dalam kesamaran. Diajar Allah ada, lawannya tiada, dengar lawannya pekak, lihat lawannya buta..lalu ditokok tambah dengan falsafah-falsafah dan konsep-konsep yang menyusahkan. Padahal penganut agama lain juga menyatakan tuhan itu ada, melihat, tidak buta, mendengar, tidak pekak dan seterusnya. Apa bezanya jika sekadar memahami perkara tersebut cuma?



Maka anak-anak orang Islam kita gagal memahami hakikat tauhid anti-syirik yang sebenar. Padahal ianya begitu mudah semudah memahami kalimah-kalimah akidah dalam surah al-Ikhlas yang ringkas. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: “Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah…Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru itu imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka” (Al-Qaradawi, Thaqafah al-Da’iyah, m.s. 92 Beirut: Muassasah al-Risalat). Dahulu kelemahan ini mungkin tidak dirasa, tetapi apabila kita hidup dalam dunia persaingan, kita mula menderitai kesannya.



Jika akidah jenerasi kita jelas, apakah mereka boleh keliru antara ajaran Islam dan Kristian? Adakah mereka tidak tahu beza antara ajaran yang menyebut tuhan bapa, tuhan anak dan ruhul qudus dengan akidah Islam yang anti-syirik, hanya disebabkan adanya sebutan Allah? Begitu jauh sekali perbezaan itu! Bagaimana mungkin sehingga mereka tidak dapat membezakan antara malam dan siang? Apakah juga nanti kita tidak membenarkan pihak lain menyebut nama nabi Ibrahim, Ishak, Ya’kub, Daud dan lain-lain kerana budak-budak kita akan keliru lagi. Akidah apakah yang mereka belajar selama ini di KAFA, JQAF dan berbagai lagi sehingga begitu corot. Kalau begitu, sama ada sukatan itu lemah, atau tenaga pengajarnya perlu dibetulkan.



Maka sebenarnya, isu ini adalah isu kelemahan kita umat Islam dalam memahami akidah yang sebenar. Jenerasi kita tidak mempunyai benteng akidah yang kukuh. Lalu kita semua bimbang mereka keliru dengan akidah orang lain. Untuk mengatasi masalah ini, kita cuba mengambil pendekatan undang-undang. Agar dengan halangan undang-undang, kelemahan akidah generasi kita dapat dipertahankan.



Persoalan yang patut kita fikirkan, sehingga bilakah kita akan mampu terus hidup hanya berbekalkan oksigen dari saluran undang-undang sehingga kita yang majoriti, dengan segala peruntukan yang ada; TV, radio, berbagai-bagai institusi dan agensi yang dilindungi, masih takut kepada gerakan minoriti? Di manakah kehebatan Islam yang selalu kita sebut dan ceritakan sejarah kegemilangannya? Atau sebenarnya, kita tidak memiliki Islam seperti hari ia diturunkan? Maka kempen Islam kita selalu tidak berkesan.



Bagi saya, bukan soal nama Allah itu yang terlalu perlu untuk direbut atau dijadikan agenda besar. Tetapi, gerakan membina semula akidah yang sejahtera dan memahamkan generasi kita wajah Islam yang sebenar agar mampu bersaing dan menghadapi cabaran zaman.

SELAMAT DATANG 2010 SELAMAT TINGGAL 2009


Seperti biasa, kehadiran tahun baru bersama azam baru yang membara. Ramai yang bersemangat waja dengan azam dan kekuatan baru untuk membina serta memperkukuhkan keazaman untuk menjadi yang terbaik antara yang terbaik.
Azam baru ini juga tidak ketinggalan di kalangan penjenayah, malah azam golongan ini mungkin lebih hebat dari mereka yang berusaha untuk berbuat kebaikan.Mungkin ada antaranya ingin menguji kehebatan sistem keselamatan terkini sesebuah institusi kewangan dan itu juga azam cuma jalannya salah di sisi undang-undang.
Bercerita tentang azam dan tahun baru, perkara yang setiap tahun menjadi agenda utama manusia di dunia, tekad dan semangat itu terus membara biarpun kadangkala azam yang bertahun dulu belum lagi mampu dilangsaikan tapi beria-ia mencipta dan mencongak azam baru, manusia memang sifatnya begitu, tak dapat yang lama buat yang baru apa yang penting biar sama seperti orang lain membina azam baru.
Bagi masyarakat tahai di utara, azam tahun ini mungkin untuk melihat daerah utara ini terus membangun seiring dengan daerah lain di Sarawak.Kalau dulu daerah ini menjadi pilihan terakhir untuk dilihat serta dilawati mungkin tahun ini daerah tahai ini boleh dipopularkan dengan pelbagai aktiviti menarik.
Bagi tahai, azam tahun ini masih seperti yang dulu menjadikan diri terus berusaha meningkatkan taraf hidup, dapat membina kerjaya yang hebat dan melihat sejauhmana kemampuan diri tahai untuk bersaing dengan dunia luar jika impian ini berjaya mungkin pada tahun ini atau tahun-tahun mendatang tahai rasa bersyukur.
Bagi tujuan azam tahai hanya membuat azam setiap tiga tahun......fikir-fikirkanlah

Tuesday, December 29, 2009

ANTARA AGENDA, MENGAMPU DAN KEIKHLASAN

Hari ini sebahagian kita melihat kerja orang lain mempunyai agenda tersendiri.Malah ada yang melihat dari sudut yang lebih khusus iaitu bertujuan untuk MENGAMPU.Namun semua pandangan ini tidak salah kerana manusia ada persepsinya masing-masing dan kita tidak boleh menyalahkan mereka dengan pandangan ini, kerana inilah sikap yang telah lama wujud dalam bangsa ini dan sejarah telah banyak membuktikan bahawa orang kita mudah tersentuh dengan apa juga keadaan terutamanya jika ia tidak sehaluan dengan apa yang kita mahu baik atau buruk.
AGENDA...setiap mereka yang berusaha dalam melaksanakan sesuatu pasti ada agendanya, yang menjalankan perniagaan pasti agenda untuk menambah pendapatan agar boleh manjadi orang yang BERWANG ,bagi yang kerja PERINTAH agendanya pasti mahu naik pangkat dan GAJINYA LEBIH LUMAYAN.Bagi orang politik AGENDANYA untuk mengukuhkan kedudukan politiknya dan seterusnya mampu memberikan khidmat kepada masyarakat (THINK POSITIF).
MENGAMPU...semua manusia mengampu, dengan sesama manusia, dengan tuhan malah dengan makhluk lain pun ia mengampu.Tidak salah untuk mengampu selagi kita tidak memburukan orang lain.MENGAMPU DENGAN AGENDA yang tersendiri boleh jika tepat pada landasan dan arah tujunya.
IKHLAS...satu nilai yang bukan hak manusia untuk memberikannya.IKHLAS adalah nilai yang hanya yang MAHA ESA dapat melihat dan menganugerahkan markah mengikut apa yang DIA lebih tahu.
Maka sesiapa yang ada AGENDA tersendiri pastikan dalam proses mencapaikan apa yang diinginkan AMPULAH tapi jangan merosakkan orang lain, kerana jika kita IKHLAS maka Tuhan akan memberikan ganjaran serta ditinggikan martabat dengan usaha kita berterusan....
Bagi tahai...hidup ini adalah cabaran yang tidak pernah berhenti...kepada mereka yang tahu dan sabar maka dunia ini adalah hentian sementara dan yang berjaya adalah mereka yang PUNYA AGENDA, MAHU MENGAMPU UNTUK MEMBERIKAN YANG TERBAIK KEPADA DIRINYA DAN ORANG LAIN SERTA IKHLAS DALAM PERJUANGANNYA.

Monday, December 28, 2009

MENCIPTA SEJARAH

Ramai antara kita ingin mencipta sejarah, malah ramai juga yang mengharapkan agar namanya tercatat dalam sejarah, namun ada juga yang tanpa sedar telah mencipta sejarah malah ada segelintir kecil secara diam-diam telah menjadi sejarah.

Sejarah membawa maksud apa sahaja yang telah berlalu adalah satu sejarah, anda makan malam tadi juga satu sejarah, anda berkerja kelmarin juga satu sejarah, anda menemui seseorang petang semalam juga sejarah, jelasnya bahawa sejarah itu adalah apa yang telah berlalu.
Namun dalam kegahirahan mencipta sejarah ramai yang terlupa bahawa bukan kita sendiri menilai sesuatu itu sebagai sejarah, lihatlah pada sejarah dunia, Hitler tidak pernah mengharapkan bahawa namanya tercatat sebagai pelopor perang dunia kedua dan disanjung sebagai tokoh bangsa aryan (Jerman) yang akhirnya dilihat sejarah sebagai penjenayah perang paling hebat pada abad ini, Jose Rizal di Filipina tidak pernah melihat dirinya sebagai pejuang, Dulu Tuk janggut dianggap Kerajaan British sebagai pemberontak tapi sejarah menyatakan bahawa beliau seorang pejuang, maka demikianlah sejarah tercipta.
Kepada yang ingin mencipta sejarah, berjuang, bermuhasabah, bertawakkal dan berusaha dengan daya dan kudrat yang ada, nama yang tersohor dan sejarah bukan milik kita untuk menentukannya.Orang lain, ganerasi terkemudian akan menjadi penilai yang terbaik sama ada apa yang kita lakukan hari ini layak dipanggil "SEJARAH".

Sunday, December 27, 2009

MINUM ARAK DAN KESANNYA

Baru-baru ini saya melawat kawan saya yang berada di sebuah kampung di Lawas, dalam kesibukan masyarakat Kristian menyambut Krimas, masyarakat melayu terutamanya golongan remaja pula mabuk dan dengan megah meminum arak.Melihat keadaan ini saya mula mencatur dan mengambarkan golongan ini sepuluh atau lima belas tahun yang akan datang, sebahagian remaja ini dikenali bapanya siapa menurut teman saya tadi.Ada antara mereka dipandang tinggi oleh masyarakat namun ramainya dari golongan pertengahan.

Melihat senario ini, saya mencongak kembali peranan masyarakat secara keseluruhannya apakah yang telah komuniti ini lakukan untuk menangani masalah ini.Adakah masyarakat hari ini sibuk mengejar kehebatan dalam material hingga lupa menjaga dan mengajar anak-anak tentang hukum dan adap susila masyarakat timur dan agama Islam khasnya.
Bagi pemimpin di Peringkat Kampung inilah sebenarnya harus menjadi agenda utama, jangan meletakkan perkara ini hanya dibahu pegawai-pegawai kerajaan, sebagai pemimpin yang berkuasa di kampung masing-masing gunkan kuasa ini untuk membina sebuah masyarakat yang mampu memberikan keunggulan serta kebaikan kepada kampung tersebut.
tahai..ingin mengingatkan diri sendiri bahawa perjalanan hidup perlu diteruskan moga-moga masyarakat ini mampu berada dilandasannya sebelum ia terbabas ke lembah yang dalam dan bencana ini pasti turut megundang penumpang lain untuk terjunam bersama-sama....fikir-fikirkanlah

Wednesday, November 4, 2009

tahai oh tahai

berpantunlah segala ceruk rantau lawas bercerita kisah tahai, kisah ikan yang dipanggang namanya tahai.dulu kaya orang dibuatnya, namun kini sapa yang bijak semakin kaya dan mungkin juga kemudian hari akan bertambah kayalah pada mereka yang pandai mengorentasikan tahai dengan pelbagai menu.
tahai oh tahai, resepi sedap dan lazatnya hanya orang lawas yang tahu, setiap yang datang pasti tak lupa membawa balik tahai sebagai buah tangan untuk kenangan dan bukti bahawa bumi lawas nun jauh diutara telah mereka pijak.
baru-baru ini bumi tahai dilimpahkan dengan pelbagai pembangunan, dari pantai pulau sarinya hinggalah ke puncak murut di ba'kelalan, masyarakat berbilang kaumnya mula merasa nikmat pembangunan namun tahai masih seperti dulu dibungkus dan dijual seadanya di pasar tamu.
tahai oh tahai kapan lagi dikau menjadi bahan komersial yang ternama jenamanya....bagi aku yang masih setia menjamah mu...engkau tetap tahai yang ku kenali dulu.

SIAPA AKU?

Dilahirkan di sebuah perkampung nelayan, kini kini mencari rezeki yang halal dan menegur selagi termampu kerana ayah tahai pernah berpesan manusia yang masih ditegur oleh makhlukNYA pasti masih mendapat kasih sayangnya.....fikir-fikirkanlah